Wukuf Arafah kemuncak ibadah haji
Oleh Hj. Ibrahim Hj. Abdullah (Pengarang Buletin Batuta)
IBADAH WUKUF di Arafah merupakan “kemuncak” ibadah haji. Ianya jatuh pada 9 Zulhijah dan pada waktu itu semua jemaah haji berkumpul di Arafah bagi mencapai keampunan dan keredhaan Allah SWT dengan melaksanakan ibadah wukuf. WUKUF di Arafah juga mengingatkan manusia sejarah awal kehadiran manusia di muka bumi termasuk peristiwa turunnya Nabi Adam AS dan Siti Hawa sebagai manusia pertama di bumi dan bertemu di padang Arafah setelah lebih kurang 200 tahun berpisah (menurut sebahagian riwayat).
Muhasabah diri : Semasa wukuf di Arafah jemaah beemuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa yang seterusnya memohon keampunan Allah SWT. Ini saat seseorang hamba kembali kepada Penciptanya untuk mendapat keampunan.dan keredhaan-Nya. Jika Allah menerima taubat mereka dan perjalanan hidup seterusnya mereka tidak lagi melakukan dosa, maka bayang-bayang syurga akan dapat dicapai.
Puncak ibadah haji : Wukuf adalah puncak ibadah haji, tanpa wukuf ibadah haji tidak berhasil. Bahkan yang sakitpun juga harus ikut serta ke Arafah untuk menunaikan rukun haji sebagai syarat utama sah ibadah haji.
Kehadiran para malaikat : Ada riwayat menyatakan, kehadiran para malaikat di langit turun menyaksikan para jemaah haji wukuf di Arafah. Allah berfirman dalam hadis Qudsi kepada para malaikat-Nya bermaksud : “Lihatlah kepada orang yang menziarahi Rumah-Ku, sesungguhnya mereka telah mengunjungi Aku, hingga kusut masai keadaannnya dan penuh debu.” (Riwayat al-Hakim bersumber dari Abu Hurairah). Sungguh mereka berlaku ikhlas dalam melaksanakan ibadah haji, kerana itu mereka berhak mendapat limpahan kurniaan dan selayaknya Aku memberi mereka sebaik-baik pahala atas jerih payah serta sambutan atas panggilan-Ku.
Khutbah wukuf : Puncak wukuf di Arafah ialah khutbah wukuf. Dalam setiap khutbah selalu diperdengarkan khutbah Rasulullah SAW. Ibnu Qayyim dalam kitab “Zaadul Ma’ad” menyebut khutbah Baginda yang bermaksud : “Wahai manusia, Tuhanmu hanyalah satu dan asalmu juga satu. Kamu semua berasal dari Adam, dan Adam berasal dari tanah, keturunan, warna kulit, bangsa tidak menyebabkan seseorang lebih baik dari yang lain. Orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa…” Mesej khutbah ini adalah persaudaraan sejagat yang menafikan perbezaan sesama manusia. Di mata Allah, hanya takwa yang membezakan kedudukan hamba-Nya. Khusus kepada kaum wanita, Rasulullah berpesan supaya mempertahankan maruah wanita dengan sebaik-baiknya. Ini kerana di zama jahiliah wanita diperlakukan dengan buruk dan bayi perempuan ditanam hidup-hidup di dalam tanah atau pasir.
Zikir dan doa di Arafah : Setiap jemaah haji semasa berada di Arafah hendaklah banyak berzikir, bertalbiah, berselawat atas Nabi, membaca, al-Quran, bermuhasabah diri, memohon keampunan, dan sebagainya untuk mencapai keredhaan Allah. Inilah juga sebagai suatu syarat untuk mendapatkan “haji mabrur” ketika jemaah wukuf di Arafah.
Doa-doa dan zikir di Arafah bolehlah berpandukan kepada buku-buku panduan ibadah haji dan sebagainya yang dikeluarkan oleh Tabung Haji dan juga pihak Batuta Travel ada menyediakan hal-hal tersebut kepada jemaah hajinya. Semoga mendapat haji mabur.-