Jemaah Batuta KT 20 Selamat Sampai Ke Mekah

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana dengan izinNya ,dapat kita bertemu lagi di catatan kali ini.  Alhamdulillah , jemaah Batuta KT 20 telah selamat sampai ke Mekah pada pukul 12.15 pagi 24 oktober 2010. Setiap jemaah diberi bilik mengikut pilihan pakej yang dipilih oleh jemaah. Tiga buah tempat penginapan menjadi penginapan rasmi jemaah Batuta. Jemaah kemudiannya diberi taklimat ringkas oleh Pengarah Urusan Batuta tentang perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh setiap jemaah bagi melaksanakan ibadat umrah. Setiap jemaah dinasihatkan supaya berehat dahulu dan akan dibawa untuk membuat umrah selepas makan pagi esok.

Setelah selesai makan pagi, jemaah berkumpul di lobi penginapan masing-masing dan bergerak bersama-sama Pengarah Batuta menuju ke Masjidil Haram. Jemaah kemudiannya diberi penerangan oleh Pengarah Urusan Batuta tentang perkara-perkara yang perlu diberi perhatian sebelum jemaah memulakan tawaf.

Setelah selesai taklimat ringkas oleh Pengarah Urusan Batuta, jemaah dibahagi kepada dua kumpulan dan dipimpin oleh 2 orang Mutawif Tempatan ( Arab ) untuk tawaf. Setiap kumpulan dibawa sambil dibimbing untuk membaca doa ketika tawaf oleh mutawif. Setelah selesai tawaf, jemaah menyempurnakan  solat sunat tawaf 2 rakaat dan kemudiannya dibawa untuk saei.

Jemaah Batuta selesai menyempurnakan ibadat umrah pada pukul 10.00 pagi . Jemaah yang uzur dibawa untuk menyempurnakan ibadat umrah pada waktu malam. Sehingga catatan ini ditulis, jemaah batuta berada di dalam keadaan sihat walafiat. Terdapat beberapa orang jemaah yang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dengan klinik Tabung Haji.

Marilah sama-sama kita berdoa agar setiap jemaah yang dijemput sebagai Tetamu Allah ini diberi tubuh badan yang sihat dan dapat melaksanakan rukun islam yang ke lima iaitu ibadat haji dengan sempurna Insya Allah.

Semoga bertemu lagi di catatan akan datang. Salam dari saya dan Jemaah Batuta KT 20 di Tanah Haram, Mekah. 

-Editor-

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top