Tanah suci sebagai ujian dan teladan

Tanah suci sebagai ujian dan teladan

Oleh Hj. Ibrahim Hj. Abdullah

(Pengarang Buletin Batuta )

TANAH SUCI atau juga disebut TANAH HARAM merupakan tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW dan sekali gus di sanalah terletak BAITULLAH atau KA’ABAH sebagai kiblat pertama umat Islam sejagat untuk beribadat dan meraih rahmat Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud : “Mengerjakan ibadat haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang sanggup menagadakan perjalanan ke Baitullah. Barang siapa yang mengingkari kewajipan haji, maka sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari sekalian alam.” (Al-Imran : 97). Para jemaah yang menunaikan ibadat haji atau umrah akan mengalami berbagai dugaan dan ujian Allah sewaktu berada di tanah suci dalam berbagai bentuk dan situasi.

Sesat dan hilang di Masjidil Haram.

Ada jemaah yang tersesat dan hilang dalam Masjidil Haram sehingga beberapa hari. Kadang-kadang jemaah dibawa pulang oleh pihak polis Arab, atau tiba-tiba berjumpa dengan jemaah dan kawan-kawannya di dalam masjid. Barulah ia dapat pulang ke tempat penginapannya. Setelah disiasat, rupa-rupanya ia suka bercakap besar semasa di tanah suci. Pengalaman penulis juga pernah sesat dengan beberapa kawan semasa menunaikan ibadat haji selepas selesai solat Isyak di Masjidil Haram untuk balik ke tempat penginapan. Pada hal jalan ke tempat pengiapan dekat sahaja. Kami akhirnya mendapat pertolongan Allah boleh balik semula ke tempat penginapan. Setelah disiasat dan diperiksa, rupanya di kalangan kawan kami itu ada seseorang yang bercakap besar kerana selalu kebiasaannya begitu. Justeru itu berhati-hatilah sewaktu di tanah suci bahkan walau di mana sekali pun. Bercakap besar tabiat yang tidak baik.

Terkunci dalam tandas/bilik air.

Ada jemaah ketika masuk ke bilik air atau tandas, terkunci di dalamnya, sehingga tidak dapat keluar. Semuanya adalah dugaan Allah di tanah suci.

Menjadi pelupa dan lalai.

Ada jemaah menjadi pelupa dan lalai sehingga ia tidak tahu di manakah isterinya tinggal setiap kali mengetuk bilik. Rupa-rupanya tersalah bilik yang diketuknya, kerana bilik orang lain. Setelah disiasat, rupanya sewaktu di tanah airnya, ia sentiasa meninggalkan isterinya di rumah bila berpergian ke mana-mana.

Mulut jangan celupar.

Ada orang terlupa terus bagaimana hendak sembahyang, tidak ingat lagi rukun solat yang selalu diamalkannya, jumlah rakaat sembahyang tidak dapat ditentukan. Orang selalu memberi teguran dan nasihat kepada kita, bila berada di tanah suci, mulut jangan celupar, melepaskan kata-kata sesuka hatinya.

Suami isteri boleh bergaduh, sahabat berpisah.

Kadang-kadang sahabat akrab boleh berpisah, isteri boleh bergaduh, bahkan boleh berpisah, pada hal perkara remeh temeh dan kecil sahaja. Anak-anak boleh berkelahi dengan orang tuanya, semuanya kerana mulut tidak dijaga dan dikawal dengan baik dan berhati-hati. Bercakap tidak berlapik dan suka mencela seseorang. Semuanya itu dugaan di tanah suci.

Kehilangan wang, beg digunting.

Ada orang kehilangan wang, beg sangkut di bahu digunting, dirampas kamera sewaktu masuk Masjidil Haram atau Masjid Madinah, ada yang hilang wang dalam kenderaan dan tempat penginapan dan sebagainya. Demikianlah dugaan di tanah suci, macam-macam boleh terjadi. Oleh itu berwaspadalah setiap masa, dan yang penting ingatlah selalu kepada Allah dengan berzikir, bertasbih, membaca al-Quran dan lain-lainnya. Hati hendaklah ikhlas dan bersih di tanah suci kerana Allah semata-mata. Bertemu jodoh di tanah suci.

Ada orang bertemu jodoh di tanah suci, bertemu rakan dan sahabat yang tinggal sebilik atau berulang alik semasa sembahyang di masjid. Demikian dugaan dan ujian di tanah suci.

Celaan cuaca panas.

Apabila kita katakan panas cuaca di tanah suci, alamat kita akan merasa panas di dalam dan di luar tubuh kita, jasmani dan rohani, tidak terasa selesa, sehingga kita tidak enak untuk melakukan ibadat yang dikerjakan di tanah suci dan lain-lainnya.

Makanan tidak sedap.

 Ada sahabat bekata, makanan tidak sedap, sehingga ia tidak boleh makan apapun sama sekali. Alamat berlaparlah ia. Memang tanah suci tempat ujian dan dugaan kepada semua orang. Berhati-hatilah untuk menggapai keredhan Allah Taala semasa di tanah suci.

Tanah suci banyak mengajar manusia.

Tanah suci banyak mengajar “Tetamu Allah” agar banyak bersabar dan merelakan semua cabaran dan dugaan hidup. Mulut tidak celupar, angkuh dan sombong, serta merasa besar diri. Bergurau biar kena pada tempatnya agar tidak menyinggung perasaan sesiapa pun. Menolong orang lain dijadikan amalan semasa di tanah suci.

Menguji, melatih, mengajar jemaah.

Sebenarnya semua dugaan di tanah suci adalah untuk menguji, melatih, dan mengajar semua jemaah agar berwaspada bila menjejaki kakinya sepanjang berada di bumi suci Allah tersebut.  Kemungkinan ada yang geli hati atau tidak merasa logik dengan perkara-perkara yang telah dikongsi oleh penulis. Setiap apa yang yang dikongsi ini merupakan pengalaman yang dilalui sendiri oleh penulis sepanjang berada di Tanah Suci. Semoga setiap jemaah atau bakal jemaah  dapat mengambil iktibar dan teladan daripada pengalaman yang dikongsi ini . Mudah-mudahan mendapat “Haji Mabrur” dan diredhai Allah SWT. Amin Ya Rabbal Almin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top