Arafah , Muzdalifah dan Mina 2010

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Segala puji bagi Allah s.w.t, tuhan yang mencipta sekalian alam. Dengan izin dan rahmat daripadaNya, dapat kita berjumpa lagi di catatan kali ini. Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana kesemua jemaah haji batuta musim 1431H / 2010 M telah dapat menyempurnakan segala rukun dan wajib haji bagi membolehkan kesemua jemaah menyelesaikan rukun islam yang ke lima iaitu ibadat haji. Sesungguhnya tiada apa yang dapat dizahirkan oleh setiap jemaah haji batuta musim ini melainkan benar-benar bersyukur kepada Ilahi kerana dipermudahkan oleh Nya untuk membuat setiap rukun dan wajib haji.

Jemaah Batuta mula bertolak meninggalkan kota mekah pada 8 Zulhijjah 1431H @ 14 November 2010 pukul 3.30 petang waktu tempatan menuju ke Padang Arafah sebagai persediaan untuk wukuf di Arafah. Sebanyak 8 buah bas disediakan oleh pihak Muasasah Haji Asia Tenggara (Maktab 84) untuk membawa 324 jemaah batuta termasuk 12 orang petugas batuta. Jemaah batuta selamat sampai ke maktab 84 di padang Arafah pada pukul 5.30 petang. Setiap jemaah diberi khemah mengikut bilangan yang telah ditetapkan oleh kementerian haji Arab Saudi. Jemaah kemudiannya berehat dan tidur di dalam khemah masing-masing.

Keesokkan hari, setelah selesai menunaikan sembahyang subuh secara berjemaah, jemaah kemudiannya bersiap sedia untuk menjalankan ibadat wukuf di padang Arafah. Wukuf merupakan rukun haji dan setiap jemaah mesti wukuf di padang Arafah bagi membolehkan hajinya sah. Wukuf bererti berada @ menghadirkan diri di bumi Arafah mulai gelincir matahari 9 zulhijjah hingga sebelum terbit fajar 10 zulhijjah dengan memenuhi syarat-syarat sahnya serta mengamalkan sunat-sunat yang berkaitan dengannya. Sepanjang wukuf di Arafah, jemaah digalakkan memperbanyakkan bertalbiah, istighfar, berzikir, bertasbih, bertahmid, bertakbir, bertahlil, berdoa dan berselawat. Segala amalan ini boleh dilakukan secara berkumpulan atau secara individu. Setelah masuk waktu magrib, jemaah batuta mula bergerak ke Muzdalifah.

Lapan buah bas digunakan untuk membawa jemaah batuta ke Muzadalifah. Di Muzdalifah, jemaah haji hendaklah mabit di Muzdalifah. Cara – cara mabit di Muzdalifah ialah dengan berada di bumi Mudzalifah mulai separuh malam 10 Zulhijjah hingga sebelum terbit fajar pada hari yang sama. Afdal berada di sepanjang tempoh mabit di Mudzalifah namun memadai seketika walaupun melalui sahaja dengan kenderaan. Sepanjang berada di Muzdalifah, jemaah haji disunatkan bertalbiah dengan seberapa banyak yang boleh serta berdoa dan berzikir semampu yang boleh kerana Muzdalifah merupakan salah satu daripada tempat yang mustajab untuk berdoa. Jemaah haji juga disunatkan mengutip anak batu di Muzdalifah untuk digunakan ketika melontar jamrah pada 10,11,12 dan 13 Zulhijjah.

Perjalanan ke mina dari Muzdalifah mengambil masa 30 minit. Alhamdulillah Allah s.w.t mempermudahkan perjalanan jemaah dan jemaah batuta yang paling akhir sampai ke mina pada pukul 3.00 pagi. Di Mina, setiap jemaah diberi tempat tinggal di dalam khemah mengikut bilangan yang telah ditetapkan oleh pihak Maktab. Jemaah kemudiannya berehat sebentar sebelum bangun untuk solat subuh.  Jemaah batuta melontar jamrah Kubra pada 10 zulhijjah selepas solat magrib sambil dibimbing oleh petugas dan guru agama Batuta. Selepas melontar Jamrah Kubra, jemaah kemudiannya bergunting (tahlul) dan dibolehkan untuk menukar kepada pakaian biasa. Pantang larang ihram bagi mereka yang telah bergunting hanya tinggal 3 perkara lagi. Pada 11 dan 12 zulhijjah jemaah batuta melontar ketiga-tiga jamrah pada sebelah malam dan pada hari terakhir di mina, jemaah batuta melontar pada pukul 7.00 pagi. Bagi jemaah yang uzur, ibadat melontar ini diwakilkan kepada saudara atau mengupah orang lain untuk melontar. Di mina, terdapat seorang jemaah batuta yang dimasukkan ke dalam wad pada 12 zulhijjah kerana masalah kesihatan. Beliau walaubagaimanapon telah keluar dari hospital pada 15 zulhijjah. Jemaah batuta bertolak ke mekah pada 13 zulhijjah selepas sembahyang zohor dah tiba di mekah sebelum waktu asar. Jemaah kemudiannya pergi untuk tawaf dan saie bagi menyempurnakan ibadat haji masing-masing. 

Semoga Allah s.w.t menerima ibadat haji yang telah dilaksanakan oleh setiap jemaah Insyallah. Diharap pengalaman sepanjang berada di bumi Arafah, Muzdalifah dan Mina dapat memberi kesedaran dan panduan kepada setiap jemaah untuk meneruskan kehidupan sekembalinya ke tanah air nanti.

Semoga bertemu lagi di catatan akan datang. Salam dari kami di Kota Mekah.

 

– Editor –

 

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top